Sunday 10 June 2012

Kediktatoran Sulla

Cinna dibunuh oleh askar-askar sendiri ketika beliau mencuba berbaris mereka untuk menghadapi legion-legion Sulla yang kembali dan oleh itu, meninggalkan Gnaeus Papirius Carbo dan penyokong-penyokong Maurius yang lain untuk menentang kepulangan Sulla. Pada tahun 83 SM, Sulla mendarat di Itali selatan, dan perang saudara Rom tercetus di kawasan luar bandar Itali. Perang ini berterusan selama satu tahun setengah, tetapi legion-legion Sulla (dibantu oleh Metellus Pius, Marcus Licinius Crassus dan seorang pemuda, Gnaeus Pompeius Magnus) akhirnya menang, dan menawan kota Rom dalam Perang Pintu Dinding Colline.
Sulla kemudian memulakan satu siri penyingkiran yang berdarah, dan mengenakan proskripsi (proses untuk menonjolkan nama-nama orang yang dihukum mati dalam forum Rom) terhadap musuh-musuhnya. Perbuatan ini membenarkan Sulla mengekalkan ketakutan di kalangan mereka yang kini di bawah kuasanya dan mencegahkan sesiapa yang ingin berkomplot terhadapnya disebabkan oleh ketakutan bahawa namanya akan termuncul pada bila-bila masa dalam senarai-senarai yang terdasyhat. Orang-orang yang telah disenaraikan dilucuti daripada semua hak dan perlindungan undang-undang mereka, dengan harta-harta mereka (termasuk harta-harta keluarga) diimpaun, dan ganjaran diberikan untuk nyawa mereka. Beribu-ribu orang Rom yang menentang Sulla, termasuk juga orang yang mempunyai kekayaan yang didambakan oleh Sulla dan pengikut-pengikutnya, telah dibunuh dengan kecam dalam tempoh dua tahun.
Sulla dilantik sebagai diktator – rei publicae constituendae causa – dan memulakan penyusunan semula negara untuk mengembalikan kuasa kepada Senat Rom. Antara pembaharuan-pembaharuan perlembagaan yang lain, Sulla:
  • menyekatkan kuasa Dewan Perundangan Marhaen secara pesat;
  • menggandakan saiz Senat Rom;
  • memberikan kuasa veto kepada Senat terhadap dekri-dekri yang diluluskan oleh Dewan Perundangan Marhaen;
  • melucutkan kebanyakan kuasa Tribun;
  • menyusun semula sistem undang-undang;
  • menyekat tindakan gabenor-gabernor provinsi; dan
  • mengembangkan Pomerium.
Selepas pembaharuan-pembaharuannya telah siap dilaksanakan, Sulla kemudian meletakkan jawatan kediktatorannya pada tahun 80 SM, dan dipilih sebagai konsul bersama-sama dengan Metellus Pius. Pada tahun 79 SM, beliau menarik diri secara langsung daripada kehidupan awam, dan bersara di ladang-ladang desanya di mana beliau menulis kisah kenangannya (kini hilang) sebelum meninggal dunia pada tahun 78 SM.

Gambar di atas merupakan gambar Lucius Cornelius Sulla.

Perang Macedonia Keempat

Selama beberapa tahun, Yunani mempunyai ketenteraman sehingga sebuah pemberontakan popular tercetus di bawah Andriscus yang menuntut diri sebagai anak Perseus. Rom sekali lagi menurunkan legion-legionnya masuk ke Yunani untuk mematahkan pemberontakan. Pada kali ini, Rom tidak berundur dari kawasan ini, dan membentuk wilayah-wilayah Achaea, Epirus, dan Macedonia, serta mengasaskan tapak Rom yang kekal di semenanjung Yunani. Sebagai tindak balas, kuasa-kuasa Yunani Liga Achaea yang masih bebas memberontak terhadap kehadiran Rom di Yunani. Bagaimanapun, Liga itu ditewaskan dengan pantas dan sebagai pengajaran, Rom memusnahkan kota kuno Corinth sama sekali pada tahun 146 SM yang merupakan tahun pemusnahan Carthage.
Perang-perang Macedonia akhirnya bertamat, bersama-sama dengan kemerdekaan Yunani.

Gambar di atas merupakan peta Perang Macedonia Keempat.

Perang Macedonia Ketiga

Ketika kematian Philip di Macedon pada tahun 179 SM, anaknya Perseus dari Macedon mencuba memulihkan pengaruh antarabangsa Macedon dan menyerang jiran-jirannya dengan agresif. Apabila Perseus didapati terbabit dalam komplot pembunuhan terhadap sekutu Rom, Senat Rom mengisytiharkan Perang Macedonia Ketiga. Mula-mulanya, Rom tidak begitu berjaya terhadap angkatan-angkatan Macedonia tetapi pada tahun 168 SM, legion-legion Rom menghancurkan barisan pertahanan Macedonia di Perang Pydna. Perseus kemudian ditangkap dan kemaharajaan Macedon dibahagikan menjadi empat buah republik boneka.

Perang Macedonia Kedua

Pada tahun 201 SM, duta-duta dari Pergamon dan Rhodes mengemukakan bukti kepada Senat Rom bahawa Philip V dari Macedon dan Antiochus III dari Empayar Seleucid telah memeterai satu pakatan nyah serangan. Walaupun sesetengah cendekiawan melihatkan "perjanjian rahsia" ini sebagai satu rekaan antara Pergamon dan Rhodes, ini menyebabkan Rom melancarkan perang Macedon kedua, dengan bantuan sekutu-sekutu Yunaninya. Pertempuran ini tidak muktamad sehingga kemenangan Rom dalam Perang Cynoscephalae pada tahun 197 SM. Selepas Rom mengenakan Perjanjian Tempea, Philip V dilarang bercampur tangan dalam hal ehwal di luar sempadannya, satu syarat yang beliau mematuhi sepanjang hayatnya. Pada 194 SM, Rom mengisytiharkan "pembebasan" Yunani, dan berundur sama sekali dari Balka. Kelihatannya, Rom tidak lagi minat akan wilayah itu.

 Gambar di atas merupakan peta Perang Macedonia Kedua.

Perang Macedonia Pertama

Semasa Perang Punic Kedua, Philip V dari Macedon bersekutu dengan Hannibal. Menakuti penghantaran tenaga bantuan untuk Hannibal dari Macedon, Rom menurunkan angkatan-angkatannya melintasi Laut Adriatik. Legion-legion Rom (dibantu oleh sekutu-sekutunya dari Liga Aetolia dan Pergamon selepas tahun 211 SM) tidak membuat apa-apa kecuali pertempuran kecil dengan angkatan-angkatan Macedonia serta perampasan wilayah-wilayah kecil di sepanjang garis pinggir laut Adriatik untuk "menempur kegiatan melanun". Minat Rom bukan untuk penaklukan, tetapi untuk memastikan bahawa Macedon, negara-negara kota Yunani, dan liga-liga politik pecah dan tidak terancam. Perang itu bertamat dengan tidak muktamad pada tahun 202 SM dengan Perjanjian Phoenice. Walaupun pertempuran ini kecil sahaja, Perang Macedonia Pertama membuka peluang untuk campur tangan ketenteraan Rom di Yunani.

Perang Punic Ketiga

Rom kini menumpukan perhatiannya kepada Perang-perang Macedonia, dan untuk mengamankan wilayah Hispania yang baru diperoleh.
Bagaimanapun, Carthage kini dikecilkan menjadi satu negara kota tunggal yang tidak mempunyai angkatan tentera serta mempunyai hutang yang amat besar, dan bergantung kepada Rom untuk perlindungan ketenteraan dan penimbangtaraan tentang perkara-perkara antarabangsa. Tanpa angkatan tentera, Carthage mengalami serangan daripada Numidia, jirannya, dan di bawah syarat-syarat perjanjian dengan Rom, pertikaian-pertikaian itu akan ditimbang tara oleh Senat Rom. Oleh sebab Numida merupakan "negara bernaung" yang disukai oleh Rom, keputusan-keputusan Rom amat dicondongkan supaya memihak kepada Numidia.
Selepas lebih kurang lima puluh tahun dalam keadaan ini, Carthage dapat menjelaskan ganti rugi perangnya, dan menganggap diri tidak lagi diikat oleh sekatan-sekatan perjanjian, walaupun Rom tidak menganggap sebegini. Carthage mengumpulkan seangkatan tentera untuk menangkis angkatan-angkatan tentera Numidia, tetapi dikalahkan dengan segara dan menyebabkan mereka menanggung hutang lagi, kali ini kepada Numidia.
Faham ketenteraan Punic yang baru ini mengejutkan banyak orang Rom, termasuk Cato Lebih Tua yang selepas pelayarannya ke Carthage, mengakhirkan semua ucapannya dengan: "Ceterum censeo Carthaginem esse delendam." - "Aku juga berpendapat bahawa Carthage harus dimusnahkan".
Pada tahun 149 SM, dalam satu percubaan untuk mengamankan Carthage, Rom membuat satu siri tuntutan yang semakin bersifat menindas dan yang bertamat dengan tuntutan yang hampir tidak mungkin bahawa kota Carthage dirobohkan dan dibina semula jauh dari pantai di dalam Afrika. Carthage menolak tuntutan terakhir ini dan Rom mengisytiharkan Perang Punic Ketiga. Scipio Aemilianus mengepung kota itu selama tiga tahun sebelum beliau berjaya memecahkan tembok bandar tersebut, dan menjarah serta membakar Carthage. Mengikut legenda, angkatan tentera Rom pernah mencuba menyemaikan garam supaya tiada apa-apa yang dapat bertumbuh di sana. Bagaimanapun, ini tidak mungkin disebabkan harga garam yang amat tinggi ketika itu dan oleh itu, hanya merupakan sebuah legenda. Orang-orang Carthage yang masih hidup dijual sebagai hamba abdi, dan Carthage tidak lagi wujud sehingga Octavian membina semula kota itu sebagai sebuah koloni untuk para bekas perajurit Rom satu abad kemudian.

Perang Punic Kedua

Carthage menghabiskan tahun-tahun yang berikut untuk memperbaik keadaan kewangannya, dan memperluas empayar jajahannya di Hispania (Sepanyol moden) di bawah keluarga Barcid, sedangkan perhatian Rom ditumpukan terutamanya kepada Perang-perang Illyria. Bagaimanapun, keluarga Barcid tidak terlupa kekalahan-kekalahan mereka dalam Perang Punic Pertama, dan Hannibal Barca, ahli keluarga Barcid yang paling masyhur, mengangkat sumpah bahawa beliau tidak akan berbaik-baik dengan Rom. Pada tahun 221 SM, Hannibal menyerang Saguntum di Sepanyol, sebuah kota yang bersekutu dengan Rom, dan mencetuskan Perang Punic Kedua.
Hannibal adalah seorang ahli strategi yang unggul dan mengetahui bahawa pasukan askar berkuda Rom tidak kuat dan mudah diserang. Oleh itu, beliau mengambil pasukan askar berkuda Numidia yang ringan, bersama-sama dengan pasukan askar berkuda Gaul dan Hispania yang berat, untuk berkhidmat dalam tenteranya, dengan kesan yang amat dasyhat kepada legion-legion Rom.
Selepas menyerang Saguntum, Hannibal mengejutkan angkatan Rom dengan serangan langsung terhadap Itali melalui penyeberangan Banjaran Alp oleh sepasukan askar upahan yang besar yang terdiri, terutamanya daripada askar Gaul, Hispania, Numdia, dan sedozen gajah perang yang termasyhur. Angkatan Hannibal menewaskan legion-legion Rom dalam banyak pertempuran yang utama, termasuk Perang Cannae yang terkenal, akan tetapi strategi jangka panjangnya tergagal.
Menghadapi kekurangan keupayaan untuk membuat pengepungan dan perampasan terhadap kota Rom, Hannibal merancang untuk mempengaruhi sekutu-sekutu Itali untuk menentang Rom dan membiarkan kota itu mati kelaparan. Bagaimanapun, dengan kekecualian beberapa negara kota selatan, kebanyakan sekutu Rom mengekalkan kesetiaan dan meneruskan pertempuran bersama Rom, walaupun angkatan Hannibal yang hampir tidak dapat dikalahkan, meneruskan pemusnahan kawasan luar bandar Itali. Lebih penting, Hannibal tidak dapat sebarang tenaga bantuan yang besar daripada Carthage, walaupun beliau membuat banyak rayuan. Ketiadaan tenaga bantuan itu menghalang beliau untuk menamatkan pertempuran dengan muktamad melalui penaklukan Rom.
Sebaliknya, Rom tidak berupaya menamatkan pertempuran di kancah Itali dengan muktamad kerana mereka bukan sahaja bertempur dengan Hannibal di Itali, dan adiknya di Sepanyol, tetapi juga terlibat dalam lagi sebuah perang asing, dan sedang bertempur dalam perang pertama dalam siri Perang Macedonia pada waktu yang sama.
Dengan Hannibal tidak diberikan tenaga bantuan oleh Carthage, dan dengan tentera Rom tersebar dalam tiga kancah pertempuran yang berasingan, perang Itali Hannibal berlangsung tanpa sebarang keputusan selama enam belas tahun.
Di Sepanyol, Publius Cornelius Scipio, seorang komander Rom yang muda (kemudian dianugerahkan dengan cognomen Africanus, ganjaran untuk pencapaiannya dalam perang ini), akhirnya menewaskan angkatan Carthage di bawah pimpinan Hasdrubal. Meninggalkan Sepanyol, Hasdrubal mencuba membawa angkatan askar upahannya masuk ke Itali untuk memperkukuh Hannibal, tetapi ditewaskan dan dibunuh dalam Perang Metaurus yang muktamad sebelum beliau dapat berbuat demikian. Scipio kemudian menawan kota-kota tempatan Carthage, dan membuat beberapa perikatan dengan pemerintah-pemerintah tempatan. Selepas itu, beliau menyerang Afrika.
Dengan Carthage kini diancam secara langsung, Hannibal kembali ke Afrika untuk menghadapi Scipio, tetapi dalam Perang Zama yang terakhir pada tahun 202 SM, angkatan Rom akhirnya menewaskan Hannibal. Carthage merayu untuk keamanan, dan Rom bersetuju, dengan syarat-syarat berikut:
  • pengambilan alih semua tanah-tanah jajahan Carthage;
  • pembayaran ganti rugi yang besar kepada Rom; dan
  • larangan untuk mempunyai angkatan tentera darat sama sekali, dan angkatan tentera laut yang besar.
Hannibal memainkan peranan kepimpinan yang utama dalam pembinaan semula Carthage, dan mencapai kejayaan yang amat baik sehingga pesaing-pesaingnya serta Rom berasa iri hati dan memaksanya melarikan diri ke Asia Minor pada tahun 195 SM. Di sana, beliau berkhidmat sebagai penasihat tentera untuk beberapa raja tempatan sehingga beliau membunuh diri pada tahun 183 SM untuk mengelakkan penangkapan oleh ejen-ejen Rom.

Perang Punic Pertama

Perang Punic Pertama antara Rom dan Carthage bermula sebagai sebuah pertempuran tempatan di Sicily antara Hiero II dari Syracuse, dan Mamertine dari Messina. Mamertine membuat pertimbangan yang buruk ketika mereka memperoleh bantuan daripada angkatan tentera laut Carthage dan kemudian mengkhianati mereka dengan rayuannya kepada Senat Rom untuk menentangi Carthage. Angkatan Rom menghantar sepasukan garison untuk menaklukkan Messina, dan Carthage yang amat marah memberikan bantuan kepada Syracuse. Dengan kedua-dua kuasa tempatan kini terlibat dalam pertempuran, ketegangan semakin bertambah buruk sehingga menjadi sebuah perang penuh untuk penguasaan Sicily antara Carthage dan Rom.
Perang Punic Pertama pada dasarnya merupakan sebuah perang laut. Selepas kekalahan perang darat yang begitu teruk di Perang Agrigentum, pimpinan Carthage memutuskan untuk mengelakkan sebarang pertempuran darat yang langsung dengan legion-legion Rom, dan memilih untuk menumpukan pertempuran mereka pada laut.
Mula-mulanya, angkatan tentera Carthage yang lebih berpengalaman dapat mengatasi Angkatan Tentera Laut Rom yang tidak mahir (sila lihat Perang Kepulauan Lipari). Rom bergerak balas dengan mengembangkan angkatan tentera lautnya dengan pesat (terdapat pertikaian tentang adakah mereka dapat berbuat demikian dengan meniru kapal-kapal Carthage yang ranap atau ditangkap): dalam tempoh dua bulan, angkatan Rom telah mempunyai satu armada yang terdiri daripada melebihi 100 buah kapal perang. Oleh sebab mereka mengetahui bahawa kapal-kapal mereka tidak mempunyai keupayaan yang setanding dengan kapal-kapal Carthage, angkatan Rom menambah kepada kapal-kapal mereka sebuah "jambatan serangan" yang dikenali sebagai corvus - "Raven". Jambatan ini akan mencangkukkan kapal-kapal musuh dan menyebabkannya tidak dapat bergerak. Dengan ini, askar-askar legion Rom akan naik kapal-kapal Carthage dan merampasnya dengan mudah. Taktik ini menyebabkan kelebihan angkatan tentera laut Carthage (keunggulan pertempuran kapal satu ke satu) tidak berkesan dan membenarkan infantri Rom yang unggul untuk menyertai pertempuran-pertempuran laut. Bagaimanapun, corvus juga bersifat besar, sukar digunakan, dan berbahaya, dan kemudiannya dihentikan secara berperingkat-peringkat ketika angkatan tentera Rom semakin menjadi lebih berpengalaman dan lebih cekap dari segi taktik.
Selain daripada kekalahan yang membawa kecelakaan di Perang Tunis di Afrika, serta pertempuran-pertempuran laut di Kepulauan Lipari dan Drepana, Perang Punic Pertama merupakan satu siri kemenangan yang hampir tidak terputus-putus. Pada tahun 241 SM, Carthage memeterai perjanjian keamanan yang memberikan Rom penguasaan yang penuh terhadap seluruh Siciliy.
Pada tahun 238 SM, askar-askar upahan Carthage memberontak (sila lihat Perang Askar Upahan) dan Rom mengambil kesempatan ini untuk merampas Pulau Corsica dan Sardinia daripada Carthage. Sejak ketika itu, orang-orang Rom menggunakan istilah "Mare Nostrum" – "laut kami" dan menguasai kawasan Mediterranean dengan berkesan. Angkatan-angkatan tentera Rom dapat menghalang serangan amfibia terhadap Itali, dan menguasai laluan-laluan perdagangan laut yang kaya dan penting, serta menyerang pesisir-pesisir yang lain.


Gambar-gambar Athens





Penubuhan Republik Rom

Tarikh tradisional untuk revolusi terhadap raja-raja ialah 509 SM (untuk ceritanya, sila lihat Penggulingan raja-raja). Tarikh ini juga diragui; penyusunan fasti konsul yang menyokong tarikh ini menyelitkan enam orang konsul dalam tahun pertama Republik, dan mempunyai tempoh-tempoh panjang yang langsung tidak mempunyai sebarang konsul. Adalah mungkin sebagai kebanggaan negara bahawa ahli-ahli Rom mengubahkan kronologi republik awal untuk menyebabkan Rom kelihatan membebaskan diri sebelum Cleisthenes membawa kebebasan kepada Athens. Juga dicurigai bahawa keluarga-keluarga yang berpengaruh "menyisipkan" nenek moyang konsul ke dalam senarai itu untuk menyokong kedudukan politik keluarga mereka, dan oleh itu mengawalkan tarikh pengasasan republik.
Konsul-konsul awal mengambil alih peranan-peranan raja kecuali peranan sami besar yang menyembah Optimus Maximus Jupiter di kuil suci yang terletak di Bukit Capitoline. Untuk tanggungjawab itu, orang-orang Rom memilih seorang Rex sacrorum — "raja untuk perkara-perkara suci". Adalah menarik untuk memperhatikan bahawa Rex Sacrorum Rom dilarang daripada menjadi ahli Senat; seseorang tidak boleh menjadi Senator dan Rex Sacrorum pada waktu yang sama. Rom Republik menjauhi "raja" sekelumit ini daripada sebarang kemungkinan mencapai kuasa. Sehingga akhir Republik, tuduhan bahawa seseorang yang berkuasa berhasrat untuk membuatkan diri sebagai "Rex" (raja) merupakan satu tuduhan yang amat menjejaskan kerjaya orang itu (pembunuh Julius Caesar mendakwa bahawa mereka sedang memeliharakan Rom daripada penubuhan semula pemerintahan beraja).

Pemerintahan Beraja

Pada permulaan, Rom mempunyai raja-raja. Tradisi lebih menggambarkan raja-raja ini sebagai pahlawan budaya berbanding tokoh sejarah, dengan setiap baginda dikatakan mereka sesuatu aspek budaya Rom; umpamanya, Numa Pompilius mencipta agama Rom, dan Ancus Martius mencipta seni-seni perang. Tradisi juga memberikan kebanyakan pemerintahan jangka masa sebanyak lebih kurang empat puluh tahun. Ini mungkin disebabkan oleh numerologi berbanding sejarah. Perincian lain dilihatkan sebagai cerita-cerita mengenai asal bagi pelbagai keluarga bangsawan Rom.
Bagaimanapun, terdapat persetujuan umum bahawa Rom mempunyai satu siri raja-raja (sebilangan daripada baginda itu berasal daripada Etruria; pengaruh orang Etruria masih dapat dilihat dalam seni dan seni bina (Rom awal) dan raja-raja ini kemudian digantikan oleh golongan bangsawan Rom pada sekitar 500-450 SM.

Gambar di atas merupakan pelan bandar Rom pada masa dahulu.