Sunday 10 June 2012

Perang Punic Kedua

Carthage menghabiskan tahun-tahun yang berikut untuk memperbaik keadaan kewangannya, dan memperluas empayar jajahannya di Hispania (Sepanyol moden) di bawah keluarga Barcid, sedangkan perhatian Rom ditumpukan terutamanya kepada Perang-perang Illyria. Bagaimanapun, keluarga Barcid tidak terlupa kekalahan-kekalahan mereka dalam Perang Punic Pertama, dan Hannibal Barca, ahli keluarga Barcid yang paling masyhur, mengangkat sumpah bahawa beliau tidak akan berbaik-baik dengan Rom. Pada tahun 221 SM, Hannibal menyerang Saguntum di Sepanyol, sebuah kota yang bersekutu dengan Rom, dan mencetuskan Perang Punic Kedua.
Hannibal adalah seorang ahli strategi yang unggul dan mengetahui bahawa pasukan askar berkuda Rom tidak kuat dan mudah diserang. Oleh itu, beliau mengambil pasukan askar berkuda Numidia yang ringan, bersama-sama dengan pasukan askar berkuda Gaul dan Hispania yang berat, untuk berkhidmat dalam tenteranya, dengan kesan yang amat dasyhat kepada legion-legion Rom.
Selepas menyerang Saguntum, Hannibal mengejutkan angkatan Rom dengan serangan langsung terhadap Itali melalui penyeberangan Banjaran Alp oleh sepasukan askar upahan yang besar yang terdiri, terutamanya daripada askar Gaul, Hispania, Numdia, dan sedozen gajah perang yang termasyhur. Angkatan Hannibal menewaskan legion-legion Rom dalam banyak pertempuran yang utama, termasuk Perang Cannae yang terkenal, akan tetapi strategi jangka panjangnya tergagal.
Menghadapi kekurangan keupayaan untuk membuat pengepungan dan perampasan terhadap kota Rom, Hannibal merancang untuk mempengaruhi sekutu-sekutu Itali untuk menentang Rom dan membiarkan kota itu mati kelaparan. Bagaimanapun, dengan kekecualian beberapa negara kota selatan, kebanyakan sekutu Rom mengekalkan kesetiaan dan meneruskan pertempuran bersama Rom, walaupun angkatan Hannibal yang hampir tidak dapat dikalahkan, meneruskan pemusnahan kawasan luar bandar Itali. Lebih penting, Hannibal tidak dapat sebarang tenaga bantuan yang besar daripada Carthage, walaupun beliau membuat banyak rayuan. Ketiadaan tenaga bantuan itu menghalang beliau untuk menamatkan pertempuran dengan muktamad melalui penaklukan Rom.
Sebaliknya, Rom tidak berupaya menamatkan pertempuran di kancah Itali dengan muktamad kerana mereka bukan sahaja bertempur dengan Hannibal di Itali, dan adiknya di Sepanyol, tetapi juga terlibat dalam lagi sebuah perang asing, dan sedang bertempur dalam perang pertama dalam siri Perang Macedonia pada waktu yang sama.
Dengan Hannibal tidak diberikan tenaga bantuan oleh Carthage, dan dengan tentera Rom tersebar dalam tiga kancah pertempuran yang berasingan, perang Itali Hannibal berlangsung tanpa sebarang keputusan selama enam belas tahun.
Di Sepanyol, Publius Cornelius Scipio, seorang komander Rom yang muda (kemudian dianugerahkan dengan cognomen Africanus, ganjaran untuk pencapaiannya dalam perang ini), akhirnya menewaskan angkatan Carthage di bawah pimpinan Hasdrubal. Meninggalkan Sepanyol, Hasdrubal mencuba membawa angkatan askar upahannya masuk ke Itali untuk memperkukuh Hannibal, tetapi ditewaskan dan dibunuh dalam Perang Metaurus yang muktamad sebelum beliau dapat berbuat demikian. Scipio kemudian menawan kota-kota tempatan Carthage, dan membuat beberapa perikatan dengan pemerintah-pemerintah tempatan. Selepas itu, beliau menyerang Afrika.
Dengan Carthage kini diancam secara langsung, Hannibal kembali ke Afrika untuk menghadapi Scipio, tetapi dalam Perang Zama yang terakhir pada tahun 202 SM, angkatan Rom akhirnya menewaskan Hannibal. Carthage merayu untuk keamanan, dan Rom bersetuju, dengan syarat-syarat berikut:
  • pengambilan alih semua tanah-tanah jajahan Carthage;
  • pembayaran ganti rugi yang besar kepada Rom; dan
  • larangan untuk mempunyai angkatan tentera darat sama sekali, dan angkatan tentera laut yang besar.
Hannibal memainkan peranan kepimpinan yang utama dalam pembinaan semula Carthage, dan mencapai kejayaan yang amat baik sehingga pesaing-pesaingnya serta Rom berasa iri hati dan memaksanya melarikan diri ke Asia Minor pada tahun 195 SM. Di sana, beliau berkhidmat sebagai penasihat tentera untuk beberapa raja tempatan sehingga beliau membunuh diri pada tahun 183 SM untuk mengelakkan penangkapan oleh ejen-ejen Rom.

No comments:

Post a Comment