Sunday 10 June 2012

Penubuhan Republik Rom

Tarikh tradisional untuk revolusi terhadap raja-raja ialah 509 SM (untuk ceritanya, sila lihat Penggulingan raja-raja). Tarikh ini juga diragui; penyusunan fasti konsul yang menyokong tarikh ini menyelitkan enam orang konsul dalam tahun pertama Republik, dan mempunyai tempoh-tempoh panjang yang langsung tidak mempunyai sebarang konsul. Adalah mungkin sebagai kebanggaan negara bahawa ahli-ahli Rom mengubahkan kronologi republik awal untuk menyebabkan Rom kelihatan membebaskan diri sebelum Cleisthenes membawa kebebasan kepada Athens. Juga dicurigai bahawa keluarga-keluarga yang berpengaruh "menyisipkan" nenek moyang konsul ke dalam senarai itu untuk menyokong kedudukan politik keluarga mereka, dan oleh itu mengawalkan tarikh pengasasan republik.
Konsul-konsul awal mengambil alih peranan-peranan raja kecuali peranan sami besar yang menyembah Optimus Maximus Jupiter di kuil suci yang terletak di Bukit Capitoline. Untuk tanggungjawab itu, orang-orang Rom memilih seorang Rex sacrorum — "raja untuk perkara-perkara suci". Adalah menarik untuk memperhatikan bahawa Rex Sacrorum Rom dilarang daripada menjadi ahli Senat; seseorang tidak boleh menjadi Senator dan Rex Sacrorum pada waktu yang sama. Rom Republik menjauhi "raja" sekelumit ini daripada sebarang kemungkinan mencapai kuasa. Sehingga akhir Republik, tuduhan bahawa seseorang yang berkuasa berhasrat untuk membuatkan diri sebagai "Rex" (raja) merupakan satu tuduhan yang amat menjejaskan kerjaya orang itu (pembunuh Julius Caesar mendakwa bahawa mereka sedang memeliharakan Rom daripada penubuhan semula pemerintahan beraja).

No comments:

Post a Comment